Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS, Rabu, 29 April. - Musabaqah Membaca Al-Quran ini hendaklah difahami sebagai salah satu usaha berterusan kerajaan dalam mengukuhkan pembelajaran Al-Quran secara menyeluruh, di samping pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif berkaitan Al-Quran yang telah diungkayahkan oleh pelbagai agensi, sama ada melalui program kemahiran Al-Quran, 'tadabbur' dan penghayatan ayat-ayat Al-Quran, kelas-kelas Al-Quran di masjid-masjid, mahupun program-program pembangunan belia dan masyarakat serta pusat-pusat pembelajaran Al-Quran swasta yang semakin berkembang di negara ini.
Kesemua usaha ini adalah bertujuan untuk memperelok bacaan, memperdalam kefahaman serta menzahirkan penghayatan Al-Quran dalam pembentukan akhlak dan tingkah laku.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah sedemikian sempena Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, malam tadi.
Terdahulu dalam titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah bersama-sama berhimpun pada malam yang penuh berkat ini bagi menyemarakkan Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1447H bersamaan 2026M.
“Beta mengambil maklum, tema Majlis Musabaqah pada tahun ini berbunyi 'Mengukuhkan Pembelajaran Al-Quran dan Menghayati Ajarannya'. Sesungguhnya Al-Quran bukan sahaja untuk dibaca, bahkan untuk dipelajari, difahami dan diamalkan sebagai panduan hidup," titah baginda.
Baginda seterusnya bertitah, firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Isra', ayat 9, tafsirnya : “Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang lebih lurus dan menyampaikan khabar gembira kepada orang-orang beriman yang mengerjakan amalan-amalan soleh,bahawa bagi mereka adalah pahala yang besar".
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah bahawa ayat ini telah menjelaskan bahawa pembelajaran Al-Quran tidak terhenti kepada membaca sahaja, bahkan meminta kita untuk memahami serta menghayati pengajaran yang terkandung di dalamnya.
Dalam usaha memperkukuh lagi budaya membaca Al-Quran dalam kalangan masyarakat, baginda juga mengambil maklum mengenai satu inisiatif baharu Kementerian Hal Ehwal Ugama, iaitu penubuhan Skim Tilawah Al-Quran Kanak-kanak (STAKA) khusus bagi kanak-kanak yang berumur 10 tahun hingga 11 tahun.
Titah baginda, skim ini merupakan satu langkah yang amat baik dalam menyemai kecintaan terhadap Al-Quran sejak usia lebih awal lagi.
“Melalui skim ini, kanak-kanak akan diberi latihan dan bimbingan awal mengenai ilmu tilawah Al-Quran dan sekali gus menyemai kecintaan terhadap Al-Quran. Beta percaya, usaha memupuk peringkat kanak-kanak ini adalah sangat penting untuk menjadi asas dalam pembentukan akhlak dan keperibadian yang mulia," titah baginda lagi.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah melihat, bahawa dalam era kemajuan teknologi masa kini, penggunaan medium digital dalam pembelajaran, penyebaran dan penghayatan Al-Quran adalah semakin meluas.
Namun, baginda bertitah berpendapat bahawa teknologi sahaja tidaklah cukup untuk menghasilkan penghayatan Al-Quran, melainkan mesti ada juga kesungguhan dalam mencintai Al-Quran.
Akhirnya, titah baginda, menyeru untuk terus menjadikan Al-Quran sebagai panduan sepanjang hayat kerana Al-Quran menurut hadis Nabi Riwayat Muslim, akan datang pada Hari Kiamat sebagai pemberi syafaat kepada para pembacanya.
“Kepada johan qari dan qariah serta semua yang berjaya ke peringkat akhir kebangsaan pada tahun ini, beta tidak lupa merakamkan ucapan tahniah dan selamat maju jaya," titah baginda.